NOVEL

Himpunan Novel Sri Diah

Saturday, June 26, 2004

Sri Diah - NOVELIS YANG TERUS BERTAHAN

* Artikel ini tersiar di Utusan Malaysia pada 13 Mei 2003.




Sri Diah bersama novel terbarunya Kuala Lumpur Di Mana Suamiku.


MUKADIMAH
KEMUNCULAN Sri Diah dalam genre kreatif sejak 80-an memang dirasai hingga kini. Baginya dunia kreatif tidak ada titik noktahnya dalam penghasilan karya.

Sri Diah menulis berdasarkan kejujuran seorang wanita kota yang melihat segala denyut nadi kota berdasarkan pengamatannya sendiri.

Penulis ini lahir, dibesarkan, mendapat pendidikan dan bekerja di Kuala Lumpur dan berasa akrab dengan segala dunia realiti dan fantasi sebuah kota metropolitan.

Esok adalah hari bersejarah apabila lima novelnya akan dilancarkan di Hotel Singahsana, Petaling Jaya, Selangor. Novel tersebut ialah Suite 1908, Dendam Masrini, Selamat Malam Tan Sri, Dosa Malam Pengantin dan Kula Lumpur Di Mana Suamiku.




S: Bagaimana Sri membahagikan masa antara karya kreatif, penulisan untuk majalah dan tugas sebagai pentadbir kanan di pejabat dan peranan sebagai isteri di rumah?



J: Jika diikutkan logik memang saya tak punya cukup masa siang. Setiap hari, jadual saya sentiasa padat. Bagaimanapun, saya mempunyai disiplin yang ketat. Waktu siang, saya melaksanakan tanggungjawab untuk kerja-kerja pejabat sebagai pentadbir, perancang dan melaksana segala amanah yang diberi. Waktu malam bersama keluarga. Saya mempunyai lebih banyak masa di hujung minggu. Tentunya hasil kerja kreatif saya berganda ketika di hujung minggu.



S: Setelah menceburi penulisan novel, saudari kelihatan cuba meninggalkan cerpen dan sajak. Mengapa
?


J: Saya sedar, saya bermula dengan puisi, diikuti cerpen. Saya sebenarnya sama sekali tidak akan menolak ke tepi kedua-dua genre yang membuatkan saya dikenali. Malah banyak kejayaan yang saya kecapi berasaskan cerpen dan puisi.

Sebenarnya saya masih lagi menulis cerpen dan puisi cuma tidak sekerap dulu. Bagaimanapun, cerpen dan sajak itu tidak dihantar ke mana-mana penerbitan. Ada yang masih lagi dalam peringkat `peram' atau polish. Begitu juga dengan puisi.



S: Apakah rahsia Sri konsisten dalam penulisan novel berbanding rakan penulis wanita yang lain?



J: Saya tidak mempunyai sebarang rahsia dalam penulisan. Setelah 20 tahun berlalu saya tidak lagi menulis karya-karya remaja seperti mula-mula dikenali dulu. Saya juga tidak lagi menulis puisi-puisi cinta yang asyik mahsyuk dengan cinta asmara, kecewa, merintih dan sebagainya.

Rasanya mungkin itu juga kuncinya. Saya membawa pembaca berjalan mengikut usia mereka sendiri. Oleh itu penerimaan peminat saya adalah konsisten hingga sekarang. Begitu juga dalam penghasilan novel. Novel pertama saya dulu kelihatan amat ringan dengan persoalan cinta. Ia berbeza dengan novel terbaru saya. Novel terbaru ini kelihatan lebih dewasa dan lebih mantap. Persoalan yang dipaparkan juga lebih berat dan komplikated.


S: Dua puluh tahun dalam penulisan tentu banyak penghargaan yang telah saudari terima.


J: Kumpulan Puisi Kaca Impian memenangi Hadiah Utama pertandingan menulis puisi anjuran Majlis Daerah Hulu Langat 1987, novel Selembut Kasihmu menang anugerah Novel Terbaik anjuran Kemudi (Persatuan Penulis Muda Selangor) 1990, cerpen Janji Seribu Liku menang Hadiah Saguhati anjuran Utusan Melayu/Public Bank 1996.

Cerpen Hujan Sore di Cipanas menang Hadiah Utama anjuran Utusan Melayu/Public Bank 1997, sajak Kenang-kenangan menang Hadiah Utama sajak anjuran Utusan Melayu/Public Bank 1997, cerpen Wanita Tahanan Reman, memenangi Hadiah Saguhati anjuran Utusan/Melayu Public Bank 1997, sajak Asmara Ini Amanah; Adalah Nikmat menang Hadiah Saguhati Anugerah Sastera Utusan Melayu 2001.



S: Apa pandangan Sri dengan kemunculan penulis-penulis wanita masa kini. Apakah mereka boleh bertahan?



J: Saya bangga dengan perkembangan terkini. Setiap hari kita lihat di dada akhbar, majalah dan di ruangan-ruangan sastera di alam siber, muncul beberapa nama baru dalam bidang penulisan. Ada yang bangkit daripada pengalaman (yang ini tidak dapat diperolehi di bangku sekolah).

Bagaimanapun, ada penulis yang bernasib baik dan berpeluang untuk bangkit menerusi asas pengajian. Mereka telah dididik sejak dari peringkat persekolahan menengah. Kemudian mereka berpeluang pula belajar mengenai sastera di kampus. Malah ada yang menekuni bidang yang bukan bidang penulisan tetapi boleh menulis karya-karya kreatif dengan baik.

Gabungan dua kategori ini memperlihatkan bahawa kehadiran penulis wanita masa kini amat menyakinkan. Saya bangga untuk turut sama menyertai semangat mereka. Ini bermakna kehadiran mereka menjadi satu cabaran bagi saya agar saya tidak merasa kebelakang.


S: Difahamkan karya terbaru saudari dalam bentuk novel laris di pasaran.


J: Karya terbaru saya ialah novel Kuala Lumpur; Di Mana Suamiku terbitan Alaf 21 Sdn. Bhd. Ia dicetak sebanyak 20,000 naskhah dan habis dijual dalam tempoh dua bulan. Kini ia dalam peringkat cetakan kedua.

Ini adalah novel paling matang yang pernah saya hasilkan. Peminat saya juga mengakuinya. Saya memang menjurus kepada straight creative thinking. Saya gembira apabila karya saya dibeli untuk dinikmati, daripada karya saya dibeli untuk menjadi hiasan atau disimpan begitu sahaja.

Saya yakin penulisan novel mempunyai masa depan yang cerah. Buktinya novel saya, Suite 1908 kini masuk cetakan keenam, novel Dendam Masrini sudah ke cetakan kelima, Selamat Malam Tan Sri cetakan keempat, Dosa Malam Pengantin melalui proses cetakan ketiga. Begitu juga Kuala Lumpur Di Mana Suamiku sudah cetakan kedua dalam tempoh tiga bulan.

Seperti penulis lain, saya tidak pernah berpuas hati dengan karya yang dihasilkan. Saya sentiasa mahu yang terbaik. Saya belum menganggap mana-mana karya saya sebagai masterpiece. Kini saya dalam peringkat akhir menghasilkan sebuah lagi novel terbaru.