NOVEL

Himpunan Novel Sri Diah

Saturday, June 26, 2004

BENGKEL KEWARTAWANAN DAN KEPENYAIRAN DI JELEBU MENDAPAT SAMBUTAN.

BENGKEL KEWARTAWANAN DAN KEPENYAIRAN DI JELEBU MENDAPAT SAMBUTAN.
by OLEH: ABDULLATIP
http://www.communityzero.com


Kuala Klawang, Jelebu, Ahad 19 Oktober 2003, bertempat di Bilik Gerakan Pejabat Daerah Jelebu Negeri Sembilan, berlangsung Bengkel Kewartawanan dan Kepenyairan, anjuran bersama Majlis Kebudayaan Daerah Jelebu, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Sembilan kawasan Jelebu dan Persatuan Penulis Negeri Sembilan.


Bengkel sehari bermula dari jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang itu dihadiri 41 peserta dari Jelebu dan 2 dari Johor terdiri dari pelajar, belia dan kakitangan kerajaan yang berminat di bidang penulisan. Turut hadir sdr Nakhoda beserta isteri dan tiga anaknya.

Peserta bengkel di bimbing oleh Prof.Drirwan Abu Bakar dan Puan Hasimah (Kepenyairan) dan Sdr Sri Diah bidang
(kewartawanan).

Sebelum itu peserta mendengar ceramah Adat Perpatih oleh Dato’ Sati Haji Md Jan bin Othman, pengerusi Persatuan Sejarah Kawasan Jelebu.

YB Dato’ Haji Shamsul Bahari bin Mat, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan (ADUN) kawasan Klawang telah merasmikan majlis penutup dan Penyampaian Sijil kepada peserta.

Dalam ucapannya, beliau mengalukan usaha yang julung kali di adakan di Jelebu dan menganggapnya sebagai usaha yang baik.

Menurutnya, di Jelebu masih kekurangan penulis dengan adanya bengkel seperti ini diharap akan lahirlah penulis yang berjaya.

Katanya lagi, dunia penulisan termasuk sastera mempunyai tempat dalam masyarakat.

"Sekiranya masyarakat hanya mementingkan sains dan teknologi tak ubah seperti robot tidak punya rasa kemanusiaan,"katanya.

Sebelum itu, Encik Sidek bin Ahmad, Yang DiPertua Majlis Kebudayaan Cawangan Jelebu yang juga Pegawai Daerah Jelebu, dalam ucapannya turut mengucapkan tahniah kerana bengkel itu berjaya di adakan serta mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk tempatan.

Menurutnya, bidang sastera penting kerana membantu mengembangkan minda, mengajak kita berfikir dan membuat kesimpulan. Manakala bidang kewartawanan pula dapat menyampaikan berita serta bergaul dengan berbagai lapisan masyarakat.

" Di zaman moden ini, bidang kewartawanan dan kepenyairan sama pentingnya dengan bidang yang lain," katanya.

Sepanjang bengkel berlansung, peserta didedahkan dengan pelbagai teori menulis puisi oleh Prof. Drirwan dan Cikgu Hasimah dan peserta dibekalkan dengan senaskah buku Kursus Kepenyairan e-sastera sebagai bahan rujukan.


Di bidang Kewartawanan pula, Sdr Sri Diah yang lebih suka dipanggil "Kak Sri" oleh peserta bengkel,memberi pendedahan kepada peserta bagaimana cara menulis berita dan rencana serta bagaimana untuk menjadi seorang wartawan yang berjaya.

Semua peserta menyatakan rasa puas hati sepanjang mengikuti bengkel tersebut. Sesuatu yang menarik adalah, ada antara mereka yang telah menghasilkan sajak tetapi tidak pernah menghantar ke mana-mana penerbitan.

" Saya belum berani menghantarnya kerana belum yakin dengan mutu karya saya. Jadi tulisan itu saya simpan untuk koleksi sendiri. Sendiri tulis, sendiri yang baca," demikian kata salah seorang peserta bengkel tersebut.


Mereka juga berpendapat, dengan mengikuti bengkel seperti ini mereka lebih yakin untuk menghasilkan karya kerana sepanjang bengkel ini peserta didedahkan kepada pelbagai teknik penulisan puisi, berita dan rencana.


Adik Nadia Farhana Manja, 15, baru selesai mengambil peperiksaan PMR, menyatakan rasa gembira kerana dapat mengikuti bengkel ini.


" Inilah kali pertama saya mengikuti bengkel seperti ini dan telah menimbulkan minat saya di bidang penulisan," katanya.

Encik Jantan Tinin, 50, seorang Posmen, turut melahirkan rasa puas hati dengan bimbingan serta tunjuk ajar yang disampaikan oleh penceramah.

" Saya mengajak beberapa orang anak muda di kampung saya untuk sama-sama mengikuti bengkel ini kerana saya memang berminat," katanya.

Encik Abdul Jalil Dahban, 38, seorang Guru Siswazah yang kini mengajar di sebuah sekolah menengah di Jelebu turut melahirkan rasa puas hati dengan bengkel tersebut.

" Saya menggalakkan pelajar saya datang ke bengkel ini untuk menimba ilmu pengetahuan," katanya

Menurut Encik Shah Kamaruddin, 45, setiausaha Majlis Kebudayaan Jelebu yang juga Penghulu Mukim Klawang, memandangkan bengkel ini mendapat sambutan maka akan di adakan lagi di masa akan datang.