NOVEL

Himpunan Novel Sri Diah

Saturday, August 22, 2009



Halaman: 512
Harga: RM19.90
Harga untuk Pelanggan Pos: RM19

FRAGMEN DOA BUAT SUAMIKU

BAB 1: Kasih emak, bak sungai yang mengalir


DUA meter keluar dari pintu kedai serbaneka 24 jam di Jalan Bukit Bintang Kuala Lumpur, tan-pa sengaja aku tersepak kaki seorang wanita ber-bangsa kulit hitam yang sedang berlunjur san-tai di kaki lima. Aku terkejut, sama seperti wanita itu juga.

Mujurlah ALLAH menyebelahiku dan alhamdulillah... aku tidak tersungkur. Aku melatah, tetapi wanita itu memakiku beria-ia bagaikan aku ini tiada harga diri. Bagaikan dia tuan di tanah bumi lahirku. Menyirap hatiku. Terasa darah pekat menyumbat-nyumbat hingga ke rongga kepala, menyantak rasa ingin memberontak. Kalau boleh, aku mahu menendang kakinya sekuat hati sekali lagi.

Apakah wanita itu penyangak? Aku tidak tahu siapa dia, tapi memang penyangak agaknya. Bukankah semakin ramai warga asing datang membanjiri di Malaysia dan Kuala Lumpur menjadi tumpuan mereka? Mereka bergelandangan, membawa budaya negara mereka hingga remajaku menjadi lupa diri dan tidak keruan imannya.

DAN sebagaimana janjiku, sebaik lepas maghrib, aku meninggalkan tempat penginapanku menuju ke Seksyen 7, Shah Alam. Ya, aku tidak mahu dianggap seperti lembu. Aku masih ingat pesan ustazah yang berulang kali memberi pesan - manusia dipegang pada janji, lembu dipegang pada talinya.

Ain memuncungkan bibirnya menghala ke ruang tamu. “Sebenarnya, kat dalam sana, ada seseorang yang nak sangat jumpa kau. Pergilah... dia tengah tunggu.”

Aku terpinga-pinga. “Siapa? Kenapa tunggu aku? Ada hal apa dia dengan aku?” Soalan demi soalan tidak menanti sahaja di dalam hati, habis kuluahkan satu per satu. Tanpa berlengah, aku terus sahaja meluru ke ruang tamu.

Dan, alangkah terkejutnya apabila tiba-tiba sahaja terasa tubuhku dirangkul dengan erat. Rasa terkejut itu membuatkan nafasku seperti terhenti tiba-tiba dan tatkala wajah itu berada di hadapan mataku, kami menangis hampir serentak.

“Tak apa Wani. Hidup ni kan macam roda. Mana tahu esok lusa hari aku pulak.”
“Hanya ALLAH yang akan balas kebaikan kau. Terima kasih banyak-banyak. Aku akan ingat jasa ni sampai mati.”

Akhirnya, aku akur bahawa sekeras mana hatiku, tetap akan cair dengan naluri seorang ibu. Suara hatiku mengalir dalam hati dan memaafkan semua tuduhan emak selama ini.

MALAM itu, aku membawa emak balik ke bilik penginapanku. “Kamu tidur di hotel? Ada rumah besar di kampung ditinggalkan. Di KL duduk kat hotel,” omel emak.

Emak teragak-agak hendak memasuki lif hotel di belakang Hentian Rakyat, berhampiran Puduraya itu. Perlahan-lahan, aku memegang tangan tua itu dan menariknya masuk lif.
“Maaf mak, selama ni Wani tidur kat hotel ni. Bukan Wani buat perkara tak baik. Tak semua orang yang duduk di hotel melakukan dosa.” Aku meyakinkan emak.

Apabila pintu bilik terbuka dan kami melangkah masuk, terlihatlah bilik yang tersusun kemas dengan katil yang bercadar cantik. Aku lihat emak tersenyum lega. Kami tidak berbual banyak dan aku pun tidak mahu menambah serabut fikirannya. Selepas emak selesai menunaikan solat isyak, aku memujuknya supaya tidur sahaja.

“Mak tidurlah. Tak ada apa lagi yang mak nak risaukan. Wani janji takkan susahkan mak lagi. Wani mintak maaf atas semua yang dah terjadi.” Berkali-kali tangan emak kucium, memohon ampun.

Sambil berbaring di katil di sepanjang malam, tubuh tua itu kupeluk erat. Tidak mahu kuepaskan, kalau boleh sampai esok, lusa dan bila-bila.

Ya, aku kembali teringat akan kehangatan tubuh emak ketika di zaman kecil dulu. Harum tubuh itu bagaikan masih terhidu wangi. Degup jantung wanita itu bagaikan terasa mesra berdenyut-denyut mendakap diri.

“Wani rasa macam kecil-kecil dululah, mak...”
“Ya, tu dulu. Tapi sekarang pun Wani macam budak kecil lagi.”
“Tapi kan ke Wani dah besar sekarang?”
“Besar pada badan aje, tapi berfikir singkat lagi.”
“Ya... Wani masih mentah.”
“Tapi taklah mentah sangat. Dah boleh menikah dan jadi isteri orang. Dah boleh ada anak-anak lima enam orang.”
“Hahaha...” Aku tergelak besar.

MALAM itu, aku tersedar dengan nada nafas yang termengah-mengah. Aku bermimpi dikejar oleh beratus-ratus ekor anjing hitam yang bertubuh besar. Taringnya tajam. Lidahnya terjelir dengan air liur yang menitik-nitik, meleleh...

Aku berlari dan terus berlari lebih kuat untuk menye-lamatkan diri. Anjing-anjing itu mengejar lagi. Aku menjerit sekuat hati dan berlari lebih laju, lalu terlanggar batu dan terjatuh. Aku bangkit dan berlari lagi.

Tiba-tiba terasa ada tangan besar sedang menggoncang-goncang bahuku. Aku membuka mata dan terlihat wajah tua emak dengan mulutnya terkumat-kamit sedang beristighfar beberapa kali.

“Hei Wani... mimpi apa ni? Termengah-mengah?” kejut emak sambil menolak-nolak lenganku beberapa kali.

Aku bingkas bangun dan duduk bersila di atas katil. “Astaghfirullahalazim...” ucapku perlahan, masih tercungap-cungap. Mata ditenyeh-tenyeh dan dihalakan ke jam pada meja sisi. Dalam kesamaran malam, mataku tertancap pada sepasang jarum itu, hampir pukul 3.00 pagi.

“Dahlah... baca ayat kursi dan tidur semula,” kata emak sambil mengiringkan badan, menarik semula selimut dan menutup tubuhnya yang kesejukan dek suhu alat penghawa dingin yang mencucuk.

Aku mendengus perlahan, membaca ayat berjuta khasiat itu dan kembali berbaring. Aku masih lagi terkenangkan anjing-anjing hitam yang mengejar tadi, masih lagi terngiang-ngiang bunyi salakannya. Dan juga teringatkan lidah-lidah yang terjuntai dan air liur yang menitik-nitik itu.

“Dahlah Wani, kalau fikiran tak tenteram, macam itulah. Mudah aje syaitan datang. Cepat aje jiwa celaru...” Suara emak timbul tenggelam, antara rasa ralat dan curiga.

Tiba-tiba aku bingkas bangkit dari katil dan menuju ke bilik air. Aku baru teringat... rupa-rupanya belum bersolat isyak. Patutlah tidurku diganggu mimpi yang dahsyat.
Tapi, mengapakah kelibat abah tidak pernah hadir dalam mimpi-mimpiku?

BAB 2: Tinggallah Alor Setar dengan sejuta luka

MENGURUSKAN persiapan berpindah hanya mengambil masa seminggu sahaja. Mujurlah DIA lapangkan segala urusan. Paling penting sekali ialah usaha memujuk emak supaya menyetujui keputusanku untuk menetap di Kuala Lumpur.

“Sementara aje, mak. Nanti bila hati Wani dah tenteram, Wani akan balik duduk di Alor Setar semula.”

Aku masih ingat lagi, terkebil-kebil mata emak apabila aku berterus terang. Ya... aku pun sebenarnya menggeletar, tapi cuba kusembunyikan daripada pandangan emak.
“Dahlah abah kau tak ada, sekarang kau pulak nak ting-galkan mak,” katanya sayu, memujuk.

Kematian pada pertengahan Julai itu tidak akan kulupakan hingga ke akhir hayat. Ya, sampai bila-bila. Kematian itu juga sama seperti yang telah menimpa kakak abah kira-kira lima tahun lalu. Sama sahaja – angkara kemalangan.

“Abah...” Hanya itu yang mampu kuzahirkan, tatkala melihat kereta melambung kerana hentakan dan brek yang ditekan kuat. “Abah... maafkan Wani. Tolong... tolong telefon ambulans cepat!” Aku menjerit pada orang ramai yang berpusu-pusu melihat kejadian.

Kini, tinggallah Alor Setar dengan sejuta duka. Dengan cerita luka yang masih berdarah. Dengan kenangan demi kenangan yang menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah.

BAB 3: Memang antara kita tiada jodoh

AKU bukan main-main, malah tidak pernah meng-anggap perkara itu olok-olok. Aku memang serius. Seperti tulisan pada buku notaku; Hidup ini bukan mainan, cinta bukan taruhan dan masa depan bukan harapan. Lalu, tidak elok aku cepat mengalah.

Aku bukan anak-anak. Aku sudah cukup dewasa meskipun usiaku sembilan tahun lebih muda daripada usianya yang hampir menjangkau 40 tahun. Aku pun tahu, tidak baik melukakan hati isteriku, tetapi ada banyak sebab mengapa aku harus kembali kepada Nur Hazwani.

Kata orang, mencari isteri sejati bak mencari sekuntum ros di ladang kaktus. Diri kita akan digigit panas terik, seluruh tubuh calar-balar dan tekak terasa kontang. Bolehkah sekuntum ros itu ditemui cantik terkembang dan harum menebarkan wangi ke seluruh ladang kaktus nan luas?

“Kau tak baik sakitkan hati Jun. Kau bayangkan kalau kau sendiri diduakan? Apa perasaan kau?”

Cakap emak itu ada betulnya, tapi aku ada alasan mengapa mesti mencari semula kasih Hazwani yang telah tercicir. Cintanya telah kutinggalkan di tengah jalan. Sayang dan rindunya telah kusia-siakan.

Alor Setar semakin sunyi kebelakangan ini. Tiada lagi hilai tawa Hazwani sejak dia berpindah ke Kuala Lumpur. Bukan sahaja pekan ini terasa sepi, malah telefonku juga bagaikan sudah mati nada deringan daripadanya.

Benarlah kata orang, Kuala Lumpur kota segala... sesiapa sahaja boleh leka dan juga lalai duniawi di dalamnya - samalah seperti Hazwani! Barangkali... ya mungkin dia juga sudah lalai dan alpa di Kuala Lumpur sana.

Sebenarnya, mulai saat Hazwani melintasi Plaza Tol Alor Setar Selatan berpindah menuju ke Kuala Lumpur, detik itu ingatanku terhadapnya semakin menjadi-jadi. Sukar disangkal. Aku mengutuk diri berkali-kali, tetapi kutukan itu cair begitu sahaja.


BAB 4: Pada bahu Ain kusandarkan resah

LAPORAN tentang projek di Kuantan macam mana? Saya minta siapkan semalam. Hari ini masih tak nampak pun bayangnya,” keluh Ain pada setiausahanya yang leka mengemas fail. Aku diam sahaja, bagai tidak mendengar omelan itu.

“Mar, saya bercakap dengan orang pekak ke? Bila Mar boleh siapkan laporan projek tu?” ujarnya lagi dengan suara yang sengaja dikuatkan.

“Maaf tak dengar tadi, saya leka sikit. Banyak betul kerja hari ni. Maaf, ya.” Lembut sahaja suara Mar, sesuai dengan orangnya yang sopan santun. Begitu terserlah pekertinya.

Sejak hari pertama bekerja di situ, aku sudah terhutang budi dengan bapa Ain itu. Kiranya lelaki itu telah menyelamatkan banyak perkara yang tergendala dalam hidupku sejak insiden kemalangan hari itu.

“Jangan sampai kau jadi mak tiri aku sudahlah, Wani,” usik Ain. Matanya kelihatan bercahaya bagaikan dia bercakap bersungguh-sungguh dari dalam hatinya. Dia tahu sejak aku hadir di pejabat ini, banyak perubahan telah dilihat. Banyak perkara baru yang telah sama-sama dilaksanakan.

“Dengar tak aku cakap ni? Jadi mak tiri aku, ya!”

Aku memang terkejut dengan nada serius itu. “Ain... janganlah cakap macam tu. Nanti masin mulut kau!

Bukankah Ain itu adalah anak Datuk Munir sendiri? Dia juga masih ada emak kandung. Hidup lagi... nanti apa reaksi emaknya kalaulah hal itu sampai ke telinga?



BAB 5: Aku rimas, bosan merata-rata

MALAM
berputar perlahan-lahan dalam cuaca panas hangat Kuala Lumpur. Dari jauh kelihatan neon berkelipan, menyinari segala liku dan lekuk seluruh pelosok bandar raya.

Aku menghela nafas panjang dari tingkat 10 apartmen yang kuhuni. Hembusan nafas kulepaskan dan kemudian disedut semula perlahan-lahan tanpa sebarang perasaan, melainkan rasa bosan dan rimas bersendirian. Rambut separas bahu dan masih basah selepas bersyampu kuurai perlahan-lahan. Memang hari itu amat melelahkan, banyak sungguh urusan di pejabat yang telah kuuruskan dengan jayanya sepanjang hari itu.

“Uhh... mereka di bawah sana itu, macam ulat tahi saja,” bisikku perlahan. Mataku masih melihat manusia hilir mudik, ada yang ke hulu dan ada yang ke hilir dengan haluan masing-masing. Sesekali dilihat bagai robotlah pula, tidak berperasaan, tidak hiraukan orang lain. Yang penting, hidup perlu diteruskan walau dengan apa alasan sekalipun.

Apartmen tiga bilik di tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur itu baru sahaja beberapa minggu belakangan ini kuhuni. Besar tidak besar, kecil pun tidaklah kecil. Selesa sahaja untuk aku seorang.

Kuala Lumpur lain, Alor Setar lain. Seronoknya di Alor Setar, aku masih ada emak yang amat disayangi, adik dan anak-anak buah untuk dimanja. Berbanding di Kuala Lumpur, aku jauh daripada sanak saudara. Yang ada hanyalah sepi dan sunyi sahaja di mana-mana.

Aku melihat sayup-sayup di kejauhan sana, jambatan yang menghubungkan Menara A dan Menara B bangunan berkembar milik Petronas yang gah berdiri. Jambatan itu kilihatan indah dengan kilau cahaya yang beraneka. Ia kelihatan bagaikan api-api berkilauan di tengah langit yang terbuka luas.

Tidak dapat dibayangkan aku sedang berkemban dengan kain batik lepas yang kubeli di Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu, Kelantan. Lalu, aku dimandikan di bawah jambatan di kampung. Suasana sekeliling amat gelap dengan persekitaran yang sunyi dan banyak nyamuk serta agas yang sedap sungguh menggetis batang tubuhku, menghirup darah yang masih manis ranum seorang anak dara.

Ahh... tak mungkin! Jambatan di KLCC itu ternyata lebih indah lagi. Aku semestinya akan duduk disirami percikan air mawar di situ. Aku akan bersimpuh dengan harum bunga rampai dan riuh bunyi kompang dipalu. Saat itu, diriku akan dilimpahi neon yang gemerlapan dan dihujani bingit pusat bandar. Pasti! Suatu waktu nanti...