NOVEL

Himpunan Novel Sri Diah

Tuesday, August 17, 2004

Terima kasih LILICARNATION

SELAMAT MALAM TAN SRI
Tulisan Lilicarnation:

"Apakah dia ingin membalas budi atau hanya membeli sebuah jiwa?"

Selamat Malam Tan Sri ini lebih banyak menyingkap kehidupan seharian seorang wartawan Mingguan Wanita, Hanim Hanani. Kisah cinta dalam diam Hanim juga diselitkan tapi saya rasa fokus utama Sri Diah dalam novel ini bukanlah mengenai cinta Hanim terhadap seorang Tan Sri yang disegani ramai. Dalam kesibukan Hanim mencari berita sensasi, teman lamanya Zaidi muncul dalam hidupnya.

--------------------------------------------------------------------------------
"Tapi, aku bukan Zaidi yang dulu. Aku datang kembali dalam hidupmu sebagai seorang askar yang tewas. Aku gagal dalam jalan yang ku pilih sendiri.."

--------------------------------------------------------------------------------
Hanim dilanda kemelut antara mencintai suami orang dan perjalanan kariernya. Dia juga memikirkan masa depannya yang harus menyara keluarganya yang bergantung harap dengannya.

--------------------------------------------------------------------------------
"Rasanya bukanlah satu dosa kalau dikatakan antara lelaki dan perempuan saling memerlukan. Seperti bulan dan matahari, umpama air dan api, saling berhubungkait. Namun, lelaki yang ada dalam hatiku sekarang bukan lelaki yang aku impikan. Dia hadir dengan membawa masa silam yang penuh muslihat dan masa depan yang entah bagaimana, penuh prasangka."

"Alangkah seronoknya mendengar suaranya. Ianya garau parau, kasar tapi lembut nadanya dan paling tidak dilupa dekah gelaknya...meruntun sanubari, membangkitkan rindu."

"Dan kini, Hanim baru sedar, kedatangannya dalam hidup lelaki itu,..tidak membawa apa-apa..apa lagi harta dan kedudukan. Dia hanya membawa sekelumit saja harapan. Dia bukan orang hebat untuk dibandingkan dengan nama-nama lain yang ada kena-mengena dengan lelaki itu. Dia bukan wanita luar biasa untuk dihubungkan secara peribadi dengan lelaki itu. Dia hanya perempuan biasa....Dia tidak ada apa-apa kelebihan....Dia hanya membawa secebis cinta sahaja..."

--------------------------------------------------------------------------------

Jika anda berminat untuk menjadi seorang wartawan, Selamat Malam Tan Sri mendedahkan segalanya. Sri Diah berjaya menggarap kisah kehidupan seorang wartawan dengan begitu "detail". Perjalanan ceritanya pantas , seiring dengan pergerakan pantas seorang wartawan yang ingin mencari "scoop" untuk majalahnya. "Scoop" ialah kisah sensasi utama yang belum dibuat liputan lagi oleh wartawan-wartawan yang lain.

Sri Diah bukan nama asing lagi dalam dunia penulisan. Selain menjawat jawatan sebagai editor pengurusan di Kumpulan Karangkraf, Sri Diah juga aktif menulis novel. Saya masih lagi membaca novel terbarunya Kuala Lumpur Di Mana Suamiku. Sri Diah lebih banyak menjurus kepada kisah cinta metropolitan. Kisah realistik yang berlaku dalam kehidupan sehari-hari. Mungkin kerana dia terdedah dengan pelbagai cerita masyarakat sepanjang pengalamannya menjadi seorang wartawan majalah, Sri Diah berupaya mengeksplotasikan apa yang dialaminya dalam novel-novelnya. Jika anda mengimpikan novel seperti cerita "Cinderella", maka novel Sri Diah bukan untuk anda. Novel-novelnya banyak berpijak di bumi yang nyata dan memerlukan kematangan pembaca untuk menilai buah tangan Sri Diah ini. Seperti dalam SMTS, melalui kacamata Hanim Hanani, Sri Diah menyelongkar kisah rumahtangga berantakan juga pelbagai skandal dalam kota metropolitan. Bagi saya, secara peribadi, saya menyukai cerita-cerita di "belakang tabir" cinta ini. Apa pun, kematangan Sri Diah nyata terserlah dalam SMTS juga KLDS.

--------------------------------------------------------------------------------
"Hakikatnya Hanim tahu, dia tidak ada apa-apa hak ke atas lelaki itu. Dia bukan kekasihku, aku bukan miliknya, kata hati Hanim. Tapi Hanim tahu semua itu bagai satu penipuan perasaan. Dia tidak sanggup hendak menidakkan keinginan yang mula bersarang, satu rasa cinta yang terlalu manis untuk dilalui. Tapi bila?.... Gilalah aku kalau mengharap yang tak pasti....antara fantasi dan realiti...antara yang pasti atau hanya angan-angan kosong belaka.."

--------------------------------------------------------------------------------