NOVEL

Himpunan Novel Sri Diah

Thursday, October 08, 2009

SOAL JAWAB DOA BUAT SUAMIKU

MAHLIGAI CINTA MENYEDARKANKU




Sabariah Manaf
Machang, Kelantan.

Saya merupakan seorang ibu kepada 7 orang anak yang sudah dewasa dan kebanyakannya sudah berumahtangga. Saya berusia 50 tahun dan masih bekerja. Saya mula berasa sunyi apabila berada di rumah apabila ketiadaan anak-anak yang telah bekerja dan selebihnya masih melanjutkan pelajaran di universiti tempatan. Ketiadaan suami yang sering menghabiskan masa di kebun dan hutan untuk berburu menambahkan kesunyian saya di rumah.

Pada mulanya saya tidak mempunyai minat untuk membaca novel memandangkan sentiasa sibuk dengan urusan seharian. Saya tidak pernah ingin cuba untuk membaca novel walaupun di dalam bilik dua anak gadis saya dipenuhi dengan berpuluh-puluh buah novel. Saya pernah menegur mereka kerana sanggup menghabiskan duit belanja yang saya berikan kepada mereka semata-mata untuk membeli novel kegemaran mereka. Namun, saya tidak pernah menghalang mereka untuk membaca novel.

Disebabkan kesunyian dan kebosanan yang semakin melanda diri, saya cuba membaca novel ‘Mahligai Cinta’ karya Sri Diah. Pada awalnya, saya membaca secara acuh tidak acuh, namun akhirnya saya tidak sabar untuk mengetahui kesudahan cerita tersebut memandangkan penulisan yang dihasilkan Sri Diah amat menyentuh perasaan saya. Saya dapat menjadikan diri saya sebagai watak dalam novel tersebut. Apa yang pasti, keistimewaan novel ‘Mahligai Cinta’ karya Sri Diah seolah-olah suara hati bagi suami isteri yang telah lama hidup bersama.

Saya mula menyedari, cinta antara suami isteri harus sentiasa disemai dan dibajai agar sentiasa mekar mewangi hingga ke akhirnya. Luahan hati si suami dalam novel tersebut seolah-olah mengajar saya untuk menyelami hati seorang insan yang bernama suami yang sentiasa memerlukan perhatian, belaian dan kasih manja daripada seorang isteri walaupun umur semakin meningkat.

Kesedaran itu telah membuatkan saya memberi lebih perhatian kepada suami kerana tidak mahu suami terasa dipinggirkan dan memendam rasa seperti yang berlaku dalam watak novel ‘Mahligai Cinta’ tersebut. Namun, saya amat bersyukur kerana rumah tangga saya yang sentiasa diiringi kasih sayang dari suami dan anak-anak menjadikan saya sebagai salah seorang wanita yang bertuah di muka bumi ini. Saya mengucapkan tahniah kepada Sri Diah kerana telah berjaya menterjemahkan suara hati suami, isteri dan anak-anak dalam penulisan beliau. Saya kira penulisannya sedikit sebanyak dapat memberi tip dan panduan kepada suami dan isteri untuk menyelami hati pasangan masing-masing.

Sekali lagi saya ucapkan tahniah kepada beliau dan tidak lupa juga kepada warga Alaf 21 kerana telah menerbitkan buku-buku dari penulis yang berbakat dan berkualiti.