NOVEL

Himpunan Novel Sri Diah

Monday, June 28, 2004

LETERAN TENTANG NOVEL "KUALA LUMPUR DI MANA SUAMIKU" KARYA SRI DIAH, PENULIS WANITA PROLIFIK MALAYSIA



1.0 PENDAHULUAN

1.1 Alhamdulillah, pagi ini (Ahad, 30.11.2003) saya usai membaca novel Kuala Lumpur Di Mana Suamiku (KLDMS) oleh penulis prolifik Sri Diah. Saya menghadapinya kira-kira tiga minggu. Terasa cemburu pula saya terhadap sdr Damahum yang menyelesaikan pembacaan novel itu dalam masa 1 hari... wow!


1.2 Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada diri saya sendiri kerana dua sebab: Pertama, kerana saya berjaya menamatkan pembacaan novel setebal 524 halaman teks ceritera (tidak termasuk halaman preliminari dan 'ekor' buku itu). Sudah lama saya tidak membaca novel setebal itu. Kedua, kerana inilah novel popular (novel pop) Melayu pertama yang saya baca.


1.3 Disclaimer :

(a) Memandangkan saya belum pernah membaca novel pop sebelum ini, maka saya tidak layak membuat sebarang kritikan atau ulasan terhadap novel KLDMS. Tambahan pula novel ini digarap oleh seorang penulis yang memang berpengalaman dan memang arif dengan selok-belok kerjanya. Namun saya berasa hendak menulis juga tentangnya kerana dua sebab: (1) Sdr Sri Diah pernah menyuarakan supaya memberi "feed back" jika saya berjaya membaca novel itu; (2) Saya berasa tanggapan saya terhadap novel itu mungkin boleh memberikan sedikit ilmu kepada mereka yang belum (dan sudah) membaca novel itu. Oleh sebab saya tidak layak menilai, mengkritik, atau mengulas KLDMS, maka apakah bendanya yang saya tulis ini? Saya rasa tidak lebih daripada rakaman perasaan (atau emosi) sahaja. Eloklah saya namakan 'leteran sastera', sepadan dengan kelaziman sebuah leteran yang rata-rata mengandungi berbakul-bakul emosi tetapi amat sedikit isinya (serta tidak diasaskan kepada sebarang teori atau ilmu bantu).

(b) Semasa mula-mula membaca buku ini, saya tidak merancang untuk membuat sebarang ulasan tentangnya. Maka saya membacanya dan menikmatinya seperti pembaca biasa. Hanya apabila telah saya baca lebih daripada tiga suku, baru saya terfikir barangkali elok saya buat ulasan (baca leteran). Maka tulisan saya ini semestinya tidak selengkap ulasan yang mampu dibuat oleh seseorang yang membacanya dengan tujuan mengulas.


1.4 Cara Pembacaan Saya

(a) Oleh sebab saya belum pernah membaca novel pop, maka saya membaca KLDMS secara pasif. Saya tidak menggerakkan minda saya untuk berinteraksi dengan cerita, tidak berusaha mengagak apa yang akan berlaku dan apa kesudahan ceritanya. Sebaliknya, saya membiarkan minda saya dihanyutkan oleh pembacaan itu.

(b) Ada sekali saya cuba mengagak-agak berlakunya satu kejutan. Namun saya tidak meneruskan pengagakan itu dan nyata memang pemikiran saya itu meleset. Cerita ini tidak ada kejutan di akhirnya. Cerita berjalan secara biasa mengikut rentak kehidupan sehari-hari watak-wataknya. (Untuk makluman mereka yang telah membaca buku itu, kejutan yang saya ciptakan dalam minda saya ialah subplot yang melibatkan Nazril akhirnya berkahwin dengan Salmiah, rakan serumah Laili).



1.5 Format Tulisan Ini

Untuk memudahkan pembaca mengikuti apa yang saya tulis ini, saya akan bahagikan "leteran" ini kepada dua bahagian yang berasingan, yakni (a) tentang cerita/tema/plot dan (b) tentang bahasa Melayu/Inggeris. Namun pembahagian ini tidaklah mutlak kerana kedua-duanya saling kait-mengait juga.



2.0 CERITA DAN PENCERITAAN

2.1 Format
Setiap bab dinyatakan di awalnya akan tempat berlakunya peristiwa dan tarikh yang tepat (hari yang spesifik) peristiwa berlaku, dari Jumaat 1 Januari 1999 (Bab pertama) hingga Ahad 3 November 2002 (Bab akhir, yang merupakan catatan pada diari heroin bernama Natasya). Maka peristiwa dalam novel itu boleh dihitung dengan tepat sebagai berlaku selama 3 tahun 10 bulan dan 3 hari (seluruh tahun 1999, 2000, dan 2001 ditambah 10 bulan dan 3 hari bagi tahun 2002).


2.2 Material Novel


Novel ini dipersembahkan dalam 524 halaman bercetak dan dibahagikan kepada 112 bab. Babnya ada yang panjang dan ada yang pendek, sesuai dengan kisah yang hendak disampaikan. Jika dihitung puratanya (sekadar statistik, tidak ada sebarang makna yang signifikan), maka secara purata, setiap bab mengandungi 4.68 halaman. Ada bab yang sangat pendek, misalnya Bab 110 dan 111 mengandungi satu halaman setengah sahaja. Ada pula bab yang relatif panjang, misalnya Bab 62 yang mengandungi tujuh halaman setengah.


2.3 Watak

Oleh sebab saya baru sahaja tamat membaca novel ini, maka saya masih ingat watak-watak yang berikut (saya tulis bahagian ini tanpa merujuk kepada buku itu supaya saya mencatatkan hanya yang saya ingat):

Natasya (wanita berumur 30 dan saudara baru dari keluarga peniaga berbangsa Cina);

Nazril (suami Natasya yang mensia-siakan Natasya setelah berkahwin dua bulan dengan Natasya; Nazril berubah sikap kerana gila talak akan jandanya Laili);

Baharin (duda 30-an dan rakan baik Nazril yang tertarik kepada Natasya).

Watak-watak tambahan yang penting ialah Albert (abang Natasya yang juga rakan perniagaan Baharin dan bapanya Datuk Bahari), dan Jullia (rakan baik sepejabat dengan Natasya dan akhirnya menjadi girlfriend Albert). Yang lain-lain rasanya watak tambahan yang kurang penting.


2.4 Cerita


Apakah yang berlaku dalam novel ini? Cerita masalah rumah tangga. Nazril berkahwin dengan Natasya, tetapi kemudiannya mengabaikannya kerana gila talak terhadap bekas isterinya Laili, lalu Natasya jatuh hati kepada Baharin yang sentiasa memberikan perhatian dan pertolongan kepadanya. Baharin sebenarnya juga jatuh cinta akan Natasya, rakan isterinya itu.

2.5 Subplot


Saya mencari-cari subplot dan bertemu lima tetapi kelima-limanya tidak signifikan atau tidak dikembangkan.

(a) Subplot paling menarik bagi saya ialah Nazril yang dipukul samseng dan dicampak ke parit. Namun subplot ini dilupakan oleh penulisnya sehingga ke akhir novel. Tidak ada penyelesaian terhadap misteri siapakah yang melakukannya. Di sini saya berasa pembacaan saya tergantung. Dalam keadaan tergantung itu, saya akhirnya cenderung mengagak bahawa angkara itu dilakukan oleh Albert dan Albert berbohong apabila menafikan perbuatan itu.

(b) Subplot kedua ialah masalah kakak ipar Natasya, Kak Zaimah. Subplot ini amat mudah kerana sama dengan plot utama, yakni melibatkan masalah rumah tangga juga. Subplot ini tidak dikembangkan oleh penulis sebaliknya diselesaikan dengan amat mudah.

(c) Subplot ketiga ialah keintiman Albert dengan Jullia. Subplot ini tidak dikembangkan langsung.

(d) Subplot keempat ialah rancangan Datin Basariah mengahwinkan Baharin denga Norly, dengan subsubplot percintaan Norly dengan pemuda serani Benjamin. Subplot ini juga diselesaikan dengan agak mudah.

(e) Satu-satunya subplot yang dkembangkan dan ditangani secara lengkap ialah kehidupan dan kesakitan ibu Baharin, sehingga membawa maut. Subplot ini tidak menarik hati saya dan tidak saya anggap penting.


2.6 Butiran Sampingan
Saya tidak dapat lari daripada memerhatikan bahawa penceritaan yang terperinci telah dibuat tentang masalah "perempuan mengandung" dan "perempuan yang mahu menuntut cerai". Bahagian ini amat informatif dan mengandungi pengetahuan yang berguna untuk kita semua. Sumbangannya terhadap keseluruhan cerita tidaklah dapat saya agak. Mungkin dapat membuat kita merasakan "beban" yang sedang ditanggung oleh protagonis yang berkenaan. (Patutlah Sri Diah memberitahu saya sebelum ini bahawa novel in banyak mengandungi hal-hal feminine).


2.7 Penceritaan
Penceritaan Sri Diah sangat lancar. Ada ketikanya saya enggan meletakkan novel itu kerana mahu terus membaca apa yang akan berlaku. Nyata pengalaman Sri Diah sebagai penulis telah berjaya dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dalam penulisan KLDMS.

Suasana dalam novel itu pada amnya sentiasa tegang dan serius. Juga melankolik. Namun ada suasana romantis pada beberapa tempat. Misalnya:

...Nazril mencium tangan Natasya sekilas. Baharin buat-buat tidak nampak sahaja. Dan apabila Nazril berjaya bangkit dari pembaringan dan boleh duduk di birai katil, Natasya hampir-hampir terkejut ketika Nazril mencium pipinya pula! (Hlm. 140).

...tiba-tiba Baharin memaut pinggangnya dari belakang. Natasya berusaha melepaskan diri tetapi Baharin semakin kuat merangkul. Penuh mesra dan romantik. Penuh kasih dan cinta. Dengus nafas Baharin bermain-main di tengkuk Natasya. (hlm 410).

Saya berharap dua petikan ini tidak memberi gambaran bahawa novel ini berbentuk erotik. Tidak sekali-kali. Suasana ini digunakan oleh Sri Diah untuk menggambarkan derita jiwa yang inginkan kasih sayang dan perhatian.

Jauh daripada bersifat erotik dan hedonisme, novel ini sebaliknya mempromosi kehidupan bermoral dan beragama. Watak-wataknya (termasuk yang kita benci) rata-rata takut akan dosa kepada Allah. Misalnya, hlm. 410:

Natasya segera minta diri untuk pulang. Dia tidak mahu mengocak batin Baharin. Dia tidak mahu insiden itu menjadi lebih liar. Dia tidak mahu menanggung dosa!

Di samping pengungkapan yang romantik, terdapat juga dialog yang tegas dan kasar:

"Hah... padan muka!" Salmiah tergelak besar. "Aku memang setuju dengan bini dia tu... memang patut ajar jantan durjana macam tu. Padan muka Nazril!"

Sri Diah juga berjaya memasukkan unsur-unsur lucu, misalnya (hlm 436):

"Hello sayang..." Suara lelaki di hujung sana kedengaran. Abang Nuar tersentak. "Maaf encik, encik silap orang ni. Nak cakap dengan siapa?" Kemudian Abang Nuar cepat-cepat menyerahkan telefon kepada Natasya. "Sorry... ada orang panggil aku sayang!" Natasya melopong mendengar kata-kata itu.

2.8 Jika saya diminta mencadangkan SATU perubahan pada cerita/watak dalam KLDMS, apakah cadangan saya? Saya akan mencadangkan supaya Baharin diwatakkan sebagai seorang muda bujang, bukannya duda. Hal ini akan menambahkan "ketegangan" dalam cerita itu dan menambahkan keresahan pembaca.


3.0 BAHASA MELAYU
3.1 Saya membaca novel ini semata-mata untuk mengikuti cerita yang dikisahkan. Itu sahaja. Namun saya akui bahawa saya banyak terlibat dengan hal-hal bahasa. Saya bekerja membentuk istilah di DBP betahun-tahun. Saya ada menyusun sebuah kamus yang diterbitkan oleh DBP (Kamus Kebalikan Dewan). Saya juga ada menulis sebuah buku tentang sistem ejaan Rumi bahasa Melayu (juga diterbitkan oleh DBP). Keterlibatan saya dengan penulisan puisi juga membuatkan saya sangat sensitif kepada kata-kata, termasuk susunan kata (diksi dan sintaksis). Maka dalam membaca novel ini, minda "bawah sedar" (subconscious) saya sentiasa memantau aspek-aspek bahasa tulisan itu. Apabila bahasanya baik, saya berasa seronok, dan apabila ada kesilapan bahasa, pembacaan saya terganggu kerana subconsious mind saya menjadi tidak gembira/selesa.

3.2 Bahasa Sri Diah baik. Sri Diah telah memanfaatkan sifat dan kebolehan kepenyairannya dalam menggarap novel ini. Banyak ungkapan puitis yang diperkenalkannya. Perkara ini sangat menyeronokkan orang seperti saya membacanya. Ungkapan puitis pertama saya temui seawal halaman 4 dan tidak boleh saya lupakan, yakni:

"Di bahunya disangkutkan harapan, di dadanya dibaringkan kebahagiaan"

Sri Diah bercakap tentang harapan Natasya terhadap Nazril apabila Natasya mula-mula berkahwin dengan Nazril. Ungkapan puitis yang kedua yang saya temui adalah juga ungkapan yang romantis:

"teringat dan teringin".

Apabila menemui ungkapan ini, saya segera meng-SMS-kannya kepada isteri saya yang sedang shopping di supermarket dengan anak perempuan kami. (Saya tinggal di rumah; saya memang tidak suka shopping-shopping ni). Isteri saya sangat gembira menerimanya, malah meminjam ungkapan itu untuk puisi "Mengkhayali Bulan" yang ditulisnya selepas itu.

Satu lagi ungkapan puitis dan romantis:

... walau hanya di pipi, tetapi ia berbekas di dalam hati. (hlm 492)

Ada banyak lagi ungkapan puitis dan romantis yang "diselerakkan" oleh Sri Diah di seluruh novel itu yang membuatkan minda menjadi segar membacanya (walaupun ungkapan-ungkapan ini biasanya dipersembahkan dalam bentuk ayat prosa). Tahniah Sri Diah.

Setiap bab diberi "subjudul" dengan ungkapan puitis. Misalnya, Bab 25 subjudulnya ialah "Saat matamu ingin kutatap, mana dirimu dapat kudakap!" (Saya pilih contoh ini kerana amat puitis dan romantis). Bab-bab lain juga ditangani dengan cara yang sama.

3.4 Bahasa puitis Sri Diah memang saya kagumi. Namun pihak editorial perlu memastikan bahawa hal ini tidak dirosakkan oleh kesilapan-kesilapan tatabahasa yang rutin dan dapat mengganggu pembacaan. Kesilapan tatabahasa yang rutin (dan merunsingkan minda semasa membaca) yang terdapat dalam buku ini termasuklah yang berikut:

(a) Penggunaan kata ganda apabila kata nama telah sedia difahami sebagai lebih daripada satu:

...dan segala syarat-syarat yang lain. (hlm 360)

...banyaknya kes-kes perceraian. (hlm 478)

...lebih ramai adik-adik Nurul Ain... (hlm 519)

(b) Penggunaan kata sendi nama "di" untuk masa (di masa...; di saat...)

(c) Penggunaan "ia" sebagai kata ganti nama orang ketiga untuk bukan manusia.

(d) Penggunaan imbuhan memper+...+kan untuk kata adjektif: "mempercepatkan" (hlm. 359).

3.5 Kesilapan ejaan yang berlaku dalam buku ini juga "merosakkan" konsentrasi untuk menikmati tulisan Sri Diah. Antara kesilapan ejaan yang rutin adalah seperti yang berikut:

(a) Perkataan "Allah" dan derivatifnya yang ditulis dengan huruf besar seluruhnya amat mengganggu pembacaan saya. Kenapa tidak dibuat secara "betul" dengn menuliskan huruf pertamanya sahaja huruf besar? Misalnya, semua perkataan yang ditulis dengan huruf besar seluruhnya di bawah ini saya anggap sebagai ejaan yang salah:

Ya ALLAH, besar sungguh dugaan-MU terhadapku.

Alangkah kuatnya gelombang ujian yang KAU turunkan untukku.

Ya TUHAN, banyak yang belum kuketahui tentang agama-MU yang suci ini... (Hlm 360).

"Insya-ALLAH, Sal. Kau doakan aku." (Hlm. 380).

(b) Penggunaan tanda sempang pada tempat yang sepatutnya tiada tanda sempang dan meninggalkan tanda sempang pada tempat yang sepatutnya ada tanda sempang:

hal-ehwal (hlm. 361): sepatutnya "hal ehwal".

ke 45 (hlm. 506): sepatutnya "ke-45".

(c) Penulisan kata majmuk yang dirapatkan untuk kata-kata majmuk yang sepatutnya dipisahkan:

kota raya

lebuh raya

(d) Ejaan perkataan-perkataan seperti reda (ditulis "redha" dalam KLDMS) sepatutnya diselaraskan dengan Kamus Dewan.

Apakah Karangkraf tidak mempunyai "spell checker" bahasa Melayu?

3.6 Penggunaan kata kolokial dalam dialog amat menarik perhatian saya, misalnya:

pulak (untuk "pula"): "Baik... Abang pulak?" (Hlm 439).

bagitahu (untuk "beritahu"): "Aku dah bagitahu... tapi mereka tak setuju." (hlm 380).

3.7 Diksi


(a) Penggunaan perkataan "ralat" (untuk "menyesal" atau "terkilan") dan "cuak" (untuk "ragu" atau "bimbang") secara meluas dan natural dalam KLBMS amat menarik, terutamanya "ralat" yang pada hari ini jarang-jarang digunakan dengan makna yang bukan teknikal (errata atau "silap cetak"). Ungkapan "mentua tak jadi" (hlm. 369) pun amat menarik!

(b) Ada juga berlaku kesilapan diksi:

Sesekali terlihat petir menyambar. (hlm 393): Yang menyambar ialah kilat, bukan petir.


3.7 Metafora
Sri Diah ada menggunakan beberapa metafora yang menarik dan segar (hlm. 386):

Hujan yang turun renyai-renyai telah membasahi dada Kuala Lumpur.

Jarum-jarum hujan bertebaran ke seluruh alam.

Pagi ini gerimis masih lagi menyebarkan sayapnya ke seluruh kotaraya.

Ada juga metafora yang tidak dapat saya tangkap maknanya, yakni "telefon-telefon karat " (hlm. 484).


4.0 BAHASA INGGERIS

4.1 Bahasa Inggeris (BI) digunakan dalam dialog dan dalam penceritaan. Kebanyakannya digunakan dalam dialog.

4.2 Saya amat setuju dengan penggunaan BI dalam dialog yang dapat membayangkan realiti gaya bercakap orang berpendidikan di Kuala Lumpur. Sri Diah berjaya membawa suasana yang real melalui penggunaan BI dalam dialog. Penggunaan bahasa Inggeris itu tidak mengganggu pembacaan saya kerana saya memang menguasai bahasa Inggeris dengan agak baik (penilaian saya sendiri). Tambahan pula ungkapan Inggeris ditulis dengan huruf taip condong (italik). Hal ini memang tindakan yang betul. Misalnya (hlm 136):

"Masih dalam kereta, on the way to Ampang Park. Nak jumpa klien. Kenapa Baha?"

4.3 BI digunakan juga dalam penceritaan Sri Diah sendiri (tidak banyak). Misalnya:

Selepas appointment dengan kliennya di Jalan Ampang tengah hari itu, Natasya tergerak untuk melawat suaminya di hospital. (hlm 136).

Mungkin Baharin terlalu excited sehingga terlupakan fasal Nazril.

Penggunaan BI secara yang sedemikian saya tidak setuju. Saya tidak nampak kenapa BI perlu digunakan dalam penceritaan itu sendiri. Apakah tidak ada kata bahasa Melayu yang mampu menyampaikan perkara yang hendak disampaikan? Itulah tanggapan yang diperoleh oleh pembaca. Saya cadangkan hal ini tidak dilakukan melainkan untuk perkara-perkara yang berbentuk teknikal dalam profesion tertentu, misalnya.

Artikel tersebut biasanya adalah untuk tujuan advertorial, iaitu bahan-bahan penyiaran yang disiarkan bagi menyokong iklan yang ditempah. (Hlm. 438).

Waktu itu dia sudah pun mengikut langkah Baharin menuju ke coffee house.

4.4 Satu hal yang ketara dalam KLDMS ialah banyak penggunaan bahasa Inggeris yang "broken" (salah tatabahasa). Saya kurang pasti sama ada ini kelemahan pihak editorial atau sengaja dilakukan oleh Sri Diah untuk memberi gambaran bahawa orang Malaysia yang suka berkomunikasi dalam BI sebenarnya tidak bercakap dengan BI yang betul! Misalnya (saya hitamkan kesilapan tatabahasa):

"...I don't want to hear any reasons..." (hlm 222).

"I don't think that it should be a good idea. Kasihan dia." (hlm 222).

"Try to be fair with yourself, Tasya." (hlm 360). (Juga "Tasya" tidak sepatutnya ditaip secara italik.)

"...Tasya tak mahu joint, nanti..." (hlm 484).

Walau apa pun alasannya, BI yang "broken" ini mengganggu pembacaan saya, terutama sekali apabila Dr. Suhaimi sendiri (seorang yang saya anggap terpelajar dan BI-nya sepatutnya bagus) telah ber-BI secara "broken":

"Jangan risau... itu hanya andaian saya. Don't take it serious." (hlm. 236).

Begitu juga, pembacaan saya terganggu apabila Natasya (seorang gadis Cina yang berpendidikan) menulis "broken English" di dalam diarinya (hlm 408):

Friendship is like a chain... anytime can broken.

Dan saya juga kurang yakin apabila seorang pesakit memanggil doktor yang merawatnya dengan panggilan "doc" sahaja (hlm 236):

"Tak ada masalah. No problem doc!"

Walau apapun, memandangkan novel ini dibaca oleh remaja kita yang (menurut pengalaman saya) rata-rata BI-nya kurang menyerlah, eloklah mereka didedahkan kepada BI yang betul, walaupun dalam dialog antara watak-watak novel ini. Jika novel ini mahu dicetak ulang lagi, saya cadangkan supaya diserahkan kepada seseorang yang mempunyai kepakaran dalam BI untuk membetulkan BI itu memandangkan banyak sekali BI digunakan dan banyak sekali kesilapan tatabahasa yang berlaku.

5.0 HAL-HAL LAIN

5.1 Walaupun novel ini saya baca secara sepintas lalu untuk mendapatkan ceritanya, namun minda bawah sedar saya dapat menangkap gangguan-gangguan yang berikut:

(a) Kekurangan tanda koma dalam semua senarai kata seperti yang diamalkan dalam percetakan semasa:

...dia terus mencapai dua tiga fail..., kunci kereta, diari dan telefon bimbitnya. (hlm 438): sepatutnya ada tanda koma selepas "diari".

(b) Ketiadaan tanda noktah di hujung ayat terakhir pada paragraf praakhir di hlm 441.

(c) Ketiadaan koma dalam beberapa ayat dialog, misalnya ayat pertama para kedua hlm. 361:

"Agama Islam ini sempurna Tasya. Agama yang..." (Perlu koma selepas kata "sempurna".)

5.2 Sedikit kesilapan fakta barangkali apabila dikatakan (hlm. 393): "...Baharin memandu keretanya dengan tenang merentas kampus Universiti Malaya menerusi lebuhraya Damansara-Kerinci Link". Sebenarnya, lebuh raya itu lalu di tepi kampus UM. Tidak ada lebuh raya yang merentasi kampus UM.

5.3 Telah saya nyatakan bahawa urutan peristiwa dalam KLDMS disusun dengan baik. Namun ada tiga perkara yang belum dapat saya rasionalkan:

(a) Semua bab diceritakan secara orang ketiga, seolah-olah Sri Diah yang menjadi penceritanya. Namun pada bab-bab yang melibatkan kisah Laili, format penceritaan ditukar kepada penceritaan orang pertama, menggunakan "Aku". Hal in memberi gambaran seolah-olah pencerita untuk novel ini bukannya Sri Diah tetapi Laili. Agak sukar untuk membayangkan bagaiman Laili boleh mengetahui semua peristiwa yang berlaku dalam novel itu. Misalnya, bagaimana Laili boleh tahu bahawa Natasya memerhatikannya ketika dia berdua-duaan dengan Nazril di Bintang Walk. Teknik penceritaan yang sedemikian belum saya temui sebelum ini walaupun teknik penceritaaan secara orang pertama (yang berubah-ubah) bagi setiap bab telah digunakan lama sebelum ini, misalnya novel Saga karya Abdul Talib Hassan yang saya baca semasa saya masih bersekolah lagi.

(b) Dua urutan cerita yang berikut agak mengelirukan saya:

Bab 92: Ahad 17 Februari

Menurut Natasya (cerita Natasya kepada Datuk Bahari)… dia telah diperdaya oleh Nazril. Contohnya, sebelum pernikahan berlangsung, Nazril langsung tidak bercerita bahawa dia adalah seorang lelaki yang berstatus duda. (Hlm 454).

Bab 93: Sabtu 23 Februari 2003

“Isteri pertama Abang?” Natasya terperanjat… “Rupa-rupanya dia duda masa kahwin dengan Tasya… dia kata dia bujang,” keluh Tasya… (hlm 456).

Soalan saya: jika pada 17.2.2003, Datuk Bahari teringat yang Natasya bercerita kepadanya bahawa Nazril ialah duda, mengapa pada 23.2.2003 (6 hari selepas itu), Natasya terperanjat apabila diberitahu yang Nazril duda semasa berkahwin dengannya?

(c) Saya tidak faham paragraf ini (hlm 355):

“Macam ni Tasya… bila kita bekerja bersama-sama, sekurang-kurangnya kita lebih rapat,” kata Datuk Bahari pula. Natasya terus menoleh. Dia memandang reaksi muka Datuk Bahari di sebelahnya. Lelaki itu hanya tersenyum.

Soalan saya: jika yang becakap itu Datuk Bahari, mengapa pula Natasya menoleh untuk melihat reaksi muka Datuk Bahari dan Datuk Bahari “hanya tersenyum”?

6.0 PENUTUP

Cerita dalam buku ini ialah cerita masyarakat yang tipikal dan tidak begitu kompleks. Amat dekat dengan realiti masyarakat semasa. Namun sebagai seorang yang mempunyai isteri, buku ini banyak memberi pengajaran dan peringatan kepada saya sebagai suami. Saya dan isteri saya bolehlah dianggap sebagai pasangan yang telah dewasa kerana kami telah sama-sama melepasi umur 45 tahun (dan telah berkahwin selama 23 tahun). Dalam keadaan itu pun banyak perkara yang dapat diambil iktibar daripada buku ini. Tentulah buku ini banyak manfaatnya bagi pasangan yang lebih muda, misalnya dalam lingkungan lewat 20-an hingga awal 40-an.

Itulah sahaja yang mampu saya katakan mengenai KLDMS buat masa ini. Jangan pandang serius tulisan ini. Seperti yang saya katakan di atas tadi, inilah kali pertama saya membaca sebuah novel pop. Maka “leteran” saya ini mungkin tidak sesuai untuk menganalisis karya yang sedemikain. Tambahan pula saya belum pernah mengulas cerpen atau novel sebelum ini.

Mari kita tunggu ulasan daripada orang yang lebih berwibawa.
Salam.

Irwan Abu Bakar
Kuala Lumpur, 30.11.2003-1.12.2003

Kuala Lumpur Di Mana Suamiku

Kuala Lumpur Di Mana Suamiku
Nama Buku: Kuala Lumpur Di Mana Suamiku
Pengarang: Sri Diah
by damahuM:


Sehari suntuk di Kampar sempat menghabiskan sebuah novel, Kuala Lumpur Di Mana Suamiku oleh Sri Diah. Terpanggil untuk beli novel ini adalah kerana tajuk dan pengarangnya.

Semasa melihat tajuknya, rasa-rasanya ia mengenai sang suami yang selalu hilang dari rumah dan pergi ke tempat-tempat tertentu seperti kelab, padang golf, karaoke atau mana-manalah di KL ini. Walaupun pengarangnya adalah wanita, tidak mustahil untuk beliau menghidupkan watak suami atau lelaki dengan selok-belok KL. Jadi teringin juga tahu, kemana agaknya lelaki hilang di KL ni, sehingga terpaksa di cari di mana suamiku. Hatta yang hilang kerana ke "masjid"pun, akhirnya meletup kera rupa-rupanya bukan ke masjid, tetapi membina masjid baru!. Namun, ternyata tanggapan awal itu meleset setelah membacanya.

Ia menceritakan tentang perkahwinan dan kehidupan kisah suami isteri di antara Natasha (saudara baru) dengan Nazril (duda berhias? - janda berhias ada le). Nazril hilang dan melupakan rumahtangga setelah 2 bulan berkahwin kerana gila talak dengan jandanya. Natasha hidup dengan segala susah-payah dan perit derita menumpang kasih sahabat suaminya Baharim (juga seorang duda). Persahabatan ii mendapat tentangan daripada ibu Baharim.

Pengarang berjaya menghidupkan watak dalam novel ini dan selok-belok KL seolah-olah benar-benar wujud. Misalnya watak dr. Suhaimi di kg. baru, ia adalah memang benar2 wujud. Ini membuatkan pembaca merasakan seperti membaca sebuah memoir kisah benar, bukannya novel rekaan.

Pengarang menggunakan diari natasha sebagai 'watak' penting dalam novel ini. Memandangkan ia bermula dalam 1999, maka ia adalah sesuatu yang wajar. Namun, untuk lebih menceriakan lagi suasana KL dan mendekatkan lagi pembaca setianya dengan ICT, mungkin pengarang (Sri Diah) boleh menggantikan 'watak' diari tersebut dengan blog. Banyak blog yang indah-indah tentang kehidupan wanita boleh diperolehi dengan mudah. Sri Diah boleh masuk geng jurnal misalnya. Salah satu blog wanita yang saya suka baca ialah nectar (versi BMnya juga ada). Selain dari itu, selain dari Sri Diah boleh juga memasukkan sedikit lagi unsur ICT dengan mewujudkan aksi di mana pelakonnya menggunakan e-mel (misalnya). Selain daripada itu, untuk mewujudkan multi-racial, mungkin watak seorang India perlu dihidupkan.

Akhir sekali, rasanya tidak rugi membelanjakan RM19.90 untuk novel ini dan Sri Diah, jika anda mempunyai blog sendiri, sudah tentu pageview sdri terlalu besar memandangkan sdri telah mempunyai 30,000 pembaca tetap!.

p.s Ini bukan ulasan novel....





Saturday, June 26, 2004

BENGKEL KEWARTAWANAN DAN KEPENYAIRAN DI JELEBU MENDAPAT SAMBUTAN.

BENGKEL KEWARTAWANAN DAN KEPENYAIRAN DI JELEBU MENDAPAT SAMBUTAN.
by OLEH: ABDULLATIP
http://www.communityzero.com


Kuala Klawang, Jelebu, Ahad 19 Oktober 2003, bertempat di Bilik Gerakan Pejabat Daerah Jelebu Negeri Sembilan, berlangsung Bengkel Kewartawanan dan Kepenyairan, anjuran bersama Majlis Kebudayaan Daerah Jelebu, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Sembilan kawasan Jelebu dan Persatuan Penulis Negeri Sembilan.


Bengkel sehari bermula dari jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang itu dihadiri 41 peserta dari Jelebu dan 2 dari Johor terdiri dari pelajar, belia dan kakitangan kerajaan yang berminat di bidang penulisan. Turut hadir sdr Nakhoda beserta isteri dan tiga anaknya.

Peserta bengkel di bimbing oleh Prof.Drirwan Abu Bakar dan Puan Hasimah (Kepenyairan) dan Sdr Sri Diah bidang
(kewartawanan).

Sebelum itu peserta mendengar ceramah Adat Perpatih oleh Dato’ Sati Haji Md Jan bin Othman, pengerusi Persatuan Sejarah Kawasan Jelebu.

YB Dato’ Haji Shamsul Bahari bin Mat, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan (ADUN) kawasan Klawang telah merasmikan majlis penutup dan Penyampaian Sijil kepada peserta.

Dalam ucapannya, beliau mengalukan usaha yang julung kali di adakan di Jelebu dan menganggapnya sebagai usaha yang baik.

Menurutnya, di Jelebu masih kekurangan penulis dengan adanya bengkel seperti ini diharap akan lahirlah penulis yang berjaya.

Katanya lagi, dunia penulisan termasuk sastera mempunyai tempat dalam masyarakat.

"Sekiranya masyarakat hanya mementingkan sains dan teknologi tak ubah seperti robot tidak punya rasa kemanusiaan,"katanya.

Sebelum itu, Encik Sidek bin Ahmad, Yang DiPertua Majlis Kebudayaan Cawangan Jelebu yang juga Pegawai Daerah Jelebu, dalam ucapannya turut mengucapkan tahniah kerana bengkel itu berjaya di adakan serta mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk tempatan.

Menurutnya, bidang sastera penting kerana membantu mengembangkan minda, mengajak kita berfikir dan membuat kesimpulan. Manakala bidang kewartawanan pula dapat menyampaikan berita serta bergaul dengan berbagai lapisan masyarakat.

" Di zaman moden ini, bidang kewartawanan dan kepenyairan sama pentingnya dengan bidang yang lain," katanya.

Sepanjang bengkel berlansung, peserta didedahkan dengan pelbagai teori menulis puisi oleh Prof. Drirwan dan Cikgu Hasimah dan peserta dibekalkan dengan senaskah buku Kursus Kepenyairan e-sastera sebagai bahan rujukan.


Di bidang Kewartawanan pula, Sdr Sri Diah yang lebih suka dipanggil "Kak Sri" oleh peserta bengkel,memberi pendedahan kepada peserta bagaimana cara menulis berita dan rencana serta bagaimana untuk menjadi seorang wartawan yang berjaya.

Semua peserta menyatakan rasa puas hati sepanjang mengikuti bengkel tersebut. Sesuatu yang menarik adalah, ada antara mereka yang telah menghasilkan sajak tetapi tidak pernah menghantar ke mana-mana penerbitan.

" Saya belum berani menghantarnya kerana belum yakin dengan mutu karya saya. Jadi tulisan itu saya simpan untuk koleksi sendiri. Sendiri tulis, sendiri yang baca," demikian kata salah seorang peserta bengkel tersebut.


Mereka juga berpendapat, dengan mengikuti bengkel seperti ini mereka lebih yakin untuk menghasilkan karya kerana sepanjang bengkel ini peserta didedahkan kepada pelbagai teknik penulisan puisi, berita dan rencana.


Adik Nadia Farhana Manja, 15, baru selesai mengambil peperiksaan PMR, menyatakan rasa gembira kerana dapat mengikuti bengkel ini.


" Inilah kali pertama saya mengikuti bengkel seperti ini dan telah menimbulkan minat saya di bidang penulisan," katanya.

Encik Jantan Tinin, 50, seorang Posmen, turut melahirkan rasa puas hati dengan bimbingan serta tunjuk ajar yang disampaikan oleh penceramah.

" Saya mengajak beberapa orang anak muda di kampung saya untuk sama-sama mengikuti bengkel ini kerana saya memang berminat," katanya.

Encik Abdul Jalil Dahban, 38, seorang Guru Siswazah yang kini mengajar di sebuah sekolah menengah di Jelebu turut melahirkan rasa puas hati dengan bengkel tersebut.

" Saya menggalakkan pelajar saya datang ke bengkel ini untuk menimba ilmu pengetahuan," katanya

Menurut Encik Shah Kamaruddin, 45, setiausaha Majlis Kebudayaan Jelebu yang juga Penghulu Mukim Klawang, memandangkan bengkel ini mendapat sambutan maka akan di adakan lagi di masa akan datang.

Sri Diah - NOVELIS YANG TERUS BERTAHAN

* Artikel ini tersiar di Utusan Malaysia pada 13 Mei 2003.




Sri Diah bersama novel terbarunya Kuala Lumpur Di Mana Suamiku.


MUKADIMAH
KEMUNCULAN Sri Diah dalam genre kreatif sejak 80-an memang dirasai hingga kini. Baginya dunia kreatif tidak ada titik noktahnya dalam penghasilan karya.

Sri Diah menulis berdasarkan kejujuran seorang wanita kota yang melihat segala denyut nadi kota berdasarkan pengamatannya sendiri.

Penulis ini lahir, dibesarkan, mendapat pendidikan dan bekerja di Kuala Lumpur dan berasa akrab dengan segala dunia realiti dan fantasi sebuah kota metropolitan.

Esok adalah hari bersejarah apabila lima novelnya akan dilancarkan di Hotel Singahsana, Petaling Jaya, Selangor. Novel tersebut ialah Suite 1908, Dendam Masrini, Selamat Malam Tan Sri, Dosa Malam Pengantin dan Kula Lumpur Di Mana Suamiku.




S: Bagaimana Sri membahagikan masa antara karya kreatif, penulisan untuk majalah dan tugas sebagai pentadbir kanan di pejabat dan peranan sebagai isteri di rumah?



J: Jika diikutkan logik memang saya tak punya cukup masa siang. Setiap hari, jadual saya sentiasa padat. Bagaimanapun, saya mempunyai disiplin yang ketat. Waktu siang, saya melaksanakan tanggungjawab untuk kerja-kerja pejabat sebagai pentadbir, perancang dan melaksana segala amanah yang diberi. Waktu malam bersama keluarga. Saya mempunyai lebih banyak masa di hujung minggu. Tentunya hasil kerja kreatif saya berganda ketika di hujung minggu.



S: Setelah menceburi penulisan novel, saudari kelihatan cuba meninggalkan cerpen dan sajak. Mengapa
?


J: Saya sedar, saya bermula dengan puisi, diikuti cerpen. Saya sebenarnya sama sekali tidak akan menolak ke tepi kedua-dua genre yang membuatkan saya dikenali. Malah banyak kejayaan yang saya kecapi berasaskan cerpen dan puisi.

Sebenarnya saya masih lagi menulis cerpen dan puisi cuma tidak sekerap dulu. Bagaimanapun, cerpen dan sajak itu tidak dihantar ke mana-mana penerbitan. Ada yang masih lagi dalam peringkat `peram' atau polish. Begitu juga dengan puisi.



S: Apakah rahsia Sri konsisten dalam penulisan novel berbanding rakan penulis wanita yang lain?



J: Saya tidak mempunyai sebarang rahsia dalam penulisan. Setelah 20 tahun berlalu saya tidak lagi menulis karya-karya remaja seperti mula-mula dikenali dulu. Saya juga tidak lagi menulis puisi-puisi cinta yang asyik mahsyuk dengan cinta asmara, kecewa, merintih dan sebagainya.

Rasanya mungkin itu juga kuncinya. Saya membawa pembaca berjalan mengikut usia mereka sendiri. Oleh itu penerimaan peminat saya adalah konsisten hingga sekarang. Begitu juga dalam penghasilan novel. Novel pertama saya dulu kelihatan amat ringan dengan persoalan cinta. Ia berbeza dengan novel terbaru saya. Novel terbaru ini kelihatan lebih dewasa dan lebih mantap. Persoalan yang dipaparkan juga lebih berat dan komplikated.


S: Dua puluh tahun dalam penulisan tentu banyak penghargaan yang telah saudari terima.


J: Kumpulan Puisi Kaca Impian memenangi Hadiah Utama pertandingan menulis puisi anjuran Majlis Daerah Hulu Langat 1987, novel Selembut Kasihmu menang anugerah Novel Terbaik anjuran Kemudi (Persatuan Penulis Muda Selangor) 1990, cerpen Janji Seribu Liku menang Hadiah Saguhati anjuran Utusan Melayu/Public Bank 1996.

Cerpen Hujan Sore di Cipanas menang Hadiah Utama anjuran Utusan Melayu/Public Bank 1997, sajak Kenang-kenangan menang Hadiah Utama sajak anjuran Utusan Melayu/Public Bank 1997, cerpen Wanita Tahanan Reman, memenangi Hadiah Saguhati anjuran Utusan/Melayu Public Bank 1997, sajak Asmara Ini Amanah; Adalah Nikmat menang Hadiah Saguhati Anugerah Sastera Utusan Melayu 2001.



S: Apa pandangan Sri dengan kemunculan penulis-penulis wanita masa kini. Apakah mereka boleh bertahan?



J: Saya bangga dengan perkembangan terkini. Setiap hari kita lihat di dada akhbar, majalah dan di ruangan-ruangan sastera di alam siber, muncul beberapa nama baru dalam bidang penulisan. Ada yang bangkit daripada pengalaman (yang ini tidak dapat diperolehi di bangku sekolah).

Bagaimanapun, ada penulis yang bernasib baik dan berpeluang untuk bangkit menerusi asas pengajian. Mereka telah dididik sejak dari peringkat persekolahan menengah. Kemudian mereka berpeluang pula belajar mengenai sastera di kampus. Malah ada yang menekuni bidang yang bukan bidang penulisan tetapi boleh menulis karya-karya kreatif dengan baik.

Gabungan dua kategori ini memperlihatkan bahawa kehadiran penulis wanita masa kini amat menyakinkan. Saya bangga untuk turut sama menyertai semangat mereka. Ini bermakna kehadiran mereka menjadi satu cabaran bagi saya agar saya tidak merasa kebelakang.


S: Difahamkan karya terbaru saudari dalam bentuk novel laris di pasaran.


J: Karya terbaru saya ialah novel Kuala Lumpur; Di Mana Suamiku terbitan Alaf 21 Sdn. Bhd. Ia dicetak sebanyak 20,000 naskhah dan habis dijual dalam tempoh dua bulan. Kini ia dalam peringkat cetakan kedua.

Ini adalah novel paling matang yang pernah saya hasilkan. Peminat saya juga mengakuinya. Saya memang menjurus kepada straight creative thinking. Saya gembira apabila karya saya dibeli untuk dinikmati, daripada karya saya dibeli untuk menjadi hiasan atau disimpan begitu sahaja.

Saya yakin penulisan novel mempunyai masa depan yang cerah. Buktinya novel saya, Suite 1908 kini masuk cetakan keenam, novel Dendam Masrini sudah ke cetakan kelima, Selamat Malam Tan Sri cetakan keempat, Dosa Malam Pengantin melalui proses cetakan ketiga. Begitu juga Kuala Lumpur Di Mana Suamiku sudah cetakan kedua dalam tempoh tiga bulan.

Seperti penulis lain, saya tidak pernah berpuas hati dengan karya yang dihasilkan. Saya sentiasa mahu yang terbaik. Saya belum menganggap mana-mana karya saya sebagai masterpiece. Kini saya dalam peringkat akhir menghasilkan sebuah lagi novel terbaru.